Isnin, 7 Disember 2015

Ketahuilah tujuan sesuatu hukum syariat


Pagi ini saya terbaca satu para dari sebuah buku menyebut, ‘Semua orang sependapat bahawa hukum-hukum syariat secara menyeluruh memiliki alasan, dan juga terdapat tujuan tertentu yang ada di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu.’  (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 47). Yang bermaksud bahawa para ulama sependapat bahawa hampir kesemua hukum dalam syariat kita mempunyai 2 perkara: 1. ada alasan, dan 2. ada tujuan di sebaliknya yang harus dilaksanakannya.
Bagi saya, misalnya jika kita bercakap tentang mengapa kita diwajibkan menunaikan ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji, ada alasannya Allah swt memerintahkan begitu. Di samping itu pula ada perkara yang kedua iaitu apakah tujuannya mewajibkannya. Ini bererti amalan menunaikan ibadah-ibadah itu tidak terhenti setakat mengikut takrif sahaja. Misalnya mengikut takrif sembahyang ialah perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbiratul-ihram dan disudahi dengan salam. 
Mengikut takrif itu seseorang yang sudah menyempurnakan 13 rukun sembahyang bererti sudah selesai tugas dan tanggungjawab kita. Tetapi mengikut petikan di atas itu tugas dan tanggungjawab kita belum selesai selagi belum menunaikan tujuannya. 
Mengikut petikan itu juga disebut juga dengan jelas bahawa tujuannya terdapat di sebalik bentuk lahiriah ibadah sembahyang. Misalnya apakah tujuannya menjadikan BERDIRI itu sebagai rukun. Ini bererti rukun BERDIRI itu bukan setakat perkara yang wajib ditunaikan supaya sembahyang kita sah sahaja tetapi harus difahami tujuannya. Apakah tujuannya? Ini yang harus kita pelajari supaya ibadah sembahyang kita sempurna. Jika tidak maka tidak sempurnalah sembahyang kita.
Antara tujuannya ialah untuk menerapkan sikap membuat pendirian. Dengan kata lain seseorang yang mengaku Islam harus mempunyai pendirian yang berdasarkan rukun BERDIRI itu. Pendirian kita ialah apa yang kita baca ketika berdiri dalam sembahyang.
Seseorang yang tidak mempunyai kefahaman sepertimana petikan di atas itu tadi boleh menyebabkan sembahyangnya rosak pula. Malah kita boleh disebut sebagai pak turut sahaja. Misalnya, apabila ustaz kata ketika sujud mesti melipatkan ibu jari kaki maka diikuti tanpa banyak soal. Orang sebegini tidak terlintas untuk mengambil tahu tujuan di sebalik bentuk lahiriahnya. 
Prosedurnya mungkin diberitahu. Umpamanya mungkin disebut bahawa cara melipanya biarlah dengan cara meletakkan perut ibu jari kedua-dua kaki. Tetapi tidak pula dijelaskan bahagian manakah yang disebut sebagai perut jari. Ini boleh menyebabkan seseorang yang mendengarnya akan hanya meletakkan hujung jari sahaja. 
Kembali kepada persoalan tujuan. Apakah tujuan meletakkan perut ibu jari itu. Jawabnya ialah bagi mengekalkan keadaan berdiri itu. Dengan kata lain maksudnya ialah supaya kita sentiasa berada dalam keadaan berdiri, walaupun setakat mewakilkan bahagian tapak kaki (perut ibujari) sahaja yang terletak di tempat sembahyang. Ini menggambarkan betapa pentingnya BERDIRI itu, iaitu bagi menanamkan sikap mempunyai pendirian, supaya kita tidak menjadi lalang yang akan condong mengikut arah tiupan angin.
Tujuan sesuatu ibadah adalah terselindung di sebalik hukum-hakamnya. Justeru, ketahuilah tujuan di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu. Wallahu-a'lam.

Sabtu, 5 Disember 2015

Matlamat ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji

Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi, dalam bukunya Fiqh Keutamaan, berkata, Antara kefahaman terbaik terhadap beban kewajipan yang diberikan kepada kita adalah memahami tujuan beban kewajipan itu, sehiingga kita mencapai tujuan tersebut, janganlah memaksa diri dan orang lain melakukan sesuatu yang tiada kaitan dengan tujuan tersebut. Apakah beban kewajipan yang diberikan kepada kita! Yang sangat jelas ialah empat ibadah yang terkandung dalam Rukun Islam, iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji.
Mengikut petikan di atas bermaksud bahawa keempat-empat ibadah itu ada tujuannya. Ini bermaksud bahawa ibadah-ibadah itu bukan setakat untuk ditunaikan mengikut takrifnya semata, tetapi harus difahami tujuannya sekali. Ibadah sembahyang misalnya, mengikut takrif ialah perataan-perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam. Jadi seseorang yang telah menunaikan 13 rukun sembahyang mengikut takrif ini bererti dia sudah mendirikan sembahyang. Mengikut petikan di atas tadi, itu sahaja belum cukup kecuali setelah kita memahami tujuannya.
Apakah tujuan ibadah sembahyang, misalnya. Kita ambil satu contoh, BERDIRI adalah rukun dalam sembahyang. Apakah kepentingannya sehingga ianya dijadikan rukun. Untuk ini saya teringat dengan kata-kata Gary Miller (Adam, nama Islam beliau kalau tidak silap), Kita tidak boleh selamanya berkecuali dalam semua hal, ada masa dan ketikanya kita harus menyatakan pendirian kita.
Apakah pendirian kita? Jika ibadah sembahyang kita jadikan asasnya, pendirian kita ialah apa yang kita baca ketika BERDIRI dalam sembahyang. Yang menjadi rukun ketika berdiri ialah takbiratul ihram, dan membaca surah al-Fatihah. Inilah yang harus difahami. Inilah juga tujuan atau matlamat ibadah sembahyang kita. Justeru, ibadah sembahyang yang hanya didirikan mengikut takrif sahaja belum mencukupi kecuali setelah kita mengambil pengajaran daripadanya. Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain itu.