Isnin, 7 Disember 2015

Ketahuilah tujuan sesuatu hukum syariat


Pagi ini saya terbaca satu para dari sebuah buku menyebut, ‘Semua orang sependapat bahawa hukum-hukum syariat secara menyeluruh memiliki alasan, dan juga terdapat tujuan tertentu yang ada di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu.’  (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 47). Yang bermaksud bahawa para ulama sependapat bahawa hampir kesemua hukum dalam syariat kita mempunyai 2 perkara: 1. ada alasan, dan 2. ada tujuan di sebaliknya yang harus dilaksanakannya.
Bagi saya, misalnya jika kita bercakap tentang mengapa kita diwajibkan menunaikan ibadah-ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji, ada alasannya Allah swt memerintahkan begitu. Di samping itu pula ada perkara yang kedua iaitu apakah tujuannya mewajibkannya. Ini bererti amalan menunaikan ibadah-ibadah itu tidak terhenti setakat mengikut takrif sahaja. Misalnya mengikut takrif sembahyang ialah perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbiratul-ihram dan disudahi dengan salam. 
Mengikut takrif itu seseorang yang sudah menyempurnakan 13 rukun sembahyang bererti sudah selesai tugas dan tanggungjawab kita. Tetapi mengikut petikan di atas itu tugas dan tanggungjawab kita belum selesai selagi belum menunaikan tujuannya. 
Mengikut petikan itu juga disebut juga dengan jelas bahawa tujuannya terdapat di sebalik bentuk lahiriah ibadah sembahyang. Misalnya apakah tujuannya menjadikan BERDIRI itu sebagai rukun. Ini bererti rukun BERDIRI itu bukan setakat perkara yang wajib ditunaikan supaya sembahyang kita sah sahaja tetapi harus difahami tujuannya. Apakah tujuannya? Ini yang harus kita pelajari supaya ibadah sembahyang kita sempurna. Jika tidak maka tidak sempurnalah sembahyang kita.
Antara tujuannya ialah untuk menerapkan sikap membuat pendirian. Dengan kata lain seseorang yang mengaku Islam harus mempunyai pendirian yang berdasarkan rukun BERDIRI itu. Pendirian kita ialah apa yang kita baca ketika berdiri dalam sembahyang.
Seseorang yang tidak mempunyai kefahaman sepertimana petikan di atas itu tadi boleh menyebabkan sembahyangnya rosak pula. Malah kita boleh disebut sebagai pak turut sahaja. Misalnya, apabila ustaz kata ketika sujud mesti melipatkan ibu jari kaki maka diikuti tanpa banyak soal. Orang sebegini tidak terlintas untuk mengambil tahu tujuan di sebalik bentuk lahiriahnya. 
Prosedurnya mungkin diberitahu. Umpamanya mungkin disebut bahawa cara melipanya biarlah dengan cara meletakkan perut ibu jari kedua-dua kaki. Tetapi tidak pula dijelaskan bahagian manakah yang disebut sebagai perut jari. Ini boleh menyebabkan seseorang yang mendengarnya akan hanya meletakkan hujung jari sahaja. 
Kembali kepada persoalan tujuan. Apakah tujuan meletakkan perut ibu jari itu. Jawabnya ialah bagi mengekalkan keadaan berdiri itu. Dengan kata lain maksudnya ialah supaya kita sentiasa berada dalam keadaan berdiri, walaupun setakat mewakilkan bahagian tapak kaki (perut ibujari) sahaja yang terletak di tempat sembahyang. Ini menggambarkan betapa pentingnya BERDIRI itu, iaitu bagi menanamkan sikap mempunyai pendirian, supaya kita tidak menjadi lalang yang akan condong mengikut arah tiupan angin.
Tujuan sesuatu ibadah adalah terselindung di sebalik hukum-hakamnya. Justeru, ketahuilah tujuan di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu. Wallahu-a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan